Setiap das tembakan yang meragut nyawa mangsa dalam pembunuhan Durian Tunggal membuka tembelang jentera pembohongan Polis yang telah berpuluh tahun beroperasi

HINDRAF menyatakan rasa amat bimbang dan kemarahan mendalam terhadap insiden tembakan maut oleh polis yang mengorbankan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka, pada 24 November 2024. Tindakan pihak berkuasa sejak kejadian itu telah menyingkap kegagalan sistemik yang amat membimbangkan—kegagalan yang terus merosakkan kepercayaan awam dan menjejaskan harapan rakyat terhadap penyiasatan yang benar dan boleh dipercayai.

Namun di tengah-tengah tragedi ini wujud satu bukti luar biasa—rakaman yang dirakam oleh isteri mangsa—yang mampu mengubah keseluruhan naratif kes ini.

“Rakaman Sekali Dalam Seumur Hidup” yang menggugat jentera pembohongan Polis yang telah berdekad-dekad lamanya.

Rakaman audio ini bukan sekadar butiran tambahan dalam kes ini. Ia adalah bukti yang amat jarang berlaku, satu dalam sejuta—yang  merakam suara mangsa dalam keadaan terseksa, mungkin sedang dikasari, diikuti dengan das tembakan yang mengorbankan mereka seorang demi seorang.

Mangsa terakhir kedengaran nada merayu untuk hidupnya, memohon kepada polis agar tidak menembaknya kerana dia mempunyai anak. Beberapa saat kemudian, satu lagi das tembakan kedengaran. Selepas pembunuhan itu, suara—yang dipercayai suara pegawai polis—kedengaran berbual tentang “setting” lokasi kejadian dalam cara yang amat mencurigakan, seolah-olah tempat kejadian mungkin telah diatur bagi meletakkan kesalahan ke atas mereka yang telah mati. Jika benar, ini akan menjadi salah satu skandal kepolisan yang paling serius dalam sejarah terkini Malaysia, di mana secara langsung mengubah naratif lama iaitu“mereka tembak kami, jadi kami tembak balik untuk mempertahankan diri.”

Rakaman audio sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini. Masyarakat jarang sekali—atau hampir tidak pernah—berpeluang memperoleh bukti masa nyata dalam insiden tembakan maut oleh polis, apatah lagi rakaman yang merakam rayuan terakhir seorang lelaki yang sedang nazak serta perbualan selepasnya yang menimbulkan bayangan manipulasi tempat kejadian. Kewujudan rakaman ini sahaja sudah cukup untuk menunjukkan betapa rapuhnya naratif lama polis.

Dan ia adalah tepat kerana rakaman ini mengancam untuk merungkai penjelasan/naratif bertahun-tahun  yang tidak pernah dipersoal dalam kes tembakan maut, manakala polis kelihatan melengahkan tindakan untuk mengakui kerosakan dalam sistem mereka sendiri.

Dalam mana-mana proses penyiasatan yang benar-benar telus, bukti sepenting ini sepatutnya  dilindungi dan dipelihara dengan segera. Sebaliknya, tindakan yang tidak bersungguh-sungguh oleh pihak berkuasa telah mencetuskan satu persepsi yang membimbangkan.

Sebuah sistem yang lambat mencari kebenaran boleh menyebabkan kebenaran itumengancam keselesaan institusi berkenaan.

 

Satu Corak Lazim Penangguhan dan Penafian

MAP amat bimbang bahawa pihak polis mungkin kelak cuba mencemarkan atau menolak rakaman tersebut sebagai “telah diubah” atau “tidak konklusif,” mengulangi pola yang pernah berlaku dalam kes-kes berprofil tinggi, di mana bukti penting diketepikan secara senyap apabila ia bercanggah dengan naratif rasmi. Kemungkinan pihak berkuasa semata-mata mempertikai rakaman itu kerana ia telah sampai kepada media. Ia juga mengingatkan kembali cubaan terdahulu untuk mencemarkan bukti seperti video Albert Tei. Bukti tidak akan kehilangan nilainya hanya kerana orang ramai melihatnya. Malah, ia menjadi lebih penting.

No module Published on Offcanvas position