REFORMASI TIDAK MEMERLUKAN REVOLUSI — ANWAR AKHIRNYA MEMPUNYAI KUASA, TETAPI REFORMASI MATI DI TANGANNYA!
DAP akan membuat keputusan pada 16 Ogos sama ada untuk kekal atau meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Selama bertahun-tahun, Anwar Ibrahim meminta rakyat Malaysia mempercayai bahawa apabila Pakatan Harapan berjaya sampai ke Putrajaya, negara ini akan menyaksikan reformasi institusi, akauntabiliti, tadbir urus yang baik serta berakhirnya budaya politik yang telah mereka kecam selama berdekad-dekad.
Harapan rakyat terhadap PH begitu tinggi kerana ia dibina atas janji-janji yang dibuat kepada rakyat selama hampir 20 tahun.
Sekiranya DAP akhirnya memutuskan untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan kerana reformasi yang bermakna tidak dapat dilaksanakan, DAP tidak seharusnya sekadar melepaskan jawatan-jawatan Menteri mereka dan berlalu begitu sahaja. Setelah lebih tiga tahun berada di tengah-tengah pentadbiran kerajaan dan memegang kuasa, DAP bertanggungjawapmemberikan satu penjelasan yang penuh dan jujur tentang apa sebenarnya yang telah berlaku kepada agenda Reformasi Anwar.
Reformasi apakah yang telah diperjuangkan oleh DAP?
Yang manakah telah ditolak, ditangguhkan, dicairkan atau ditinggalkan?
Apakah yang menghalangnya?
Adakah reformasi tersebut digagalkan oleh tentangan politik, kepentingan yang bersaing atau parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan?
Dan sekiranya kompromi terpaksa dibuat demi mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan, DAP harus menjelaskan apakah kompromi-kompromi tersebut dan mengapa ia dianggap perlu.
Ini bukan soal menyalahkan DAP atas kegagalan Reformasi. Ini adalah soal meminta DAP, sebagai sebuah parti utama yang berada dalam kerajaan dan Kabinet, untuk memberitahu rakyat Malaysia perkara yang sebenarnya.
Namun, terdapat satu persoalan yang lebih besar yang tidak boleh dielakkan.
Anwar Ibrahim membina perjuangan politiknya berteraskan Reformasi. Selama lebih dua dekad, rakyat Malaysia turun ke jalan raya, berkorban, mengundi dan berdiri bersamanya kerana mereka percaya bahawa sekiranya beliau suatu hari menjadi Perdana Menteri, reformasi yang diperjuangkannya akhirnya akan menjadi kenyataan.
Dan apakah yang telah terjadi kepada Reformasi yang dijanjikan itu selain Anwar berulang kali melaungkan perkataan “sakau”?
Di manakah perubahan institusi yang sebenar?
a. Azam Baki terus kekal menerajui SPRM dan tempoh perkhidmatannya telah dilanjutkan sebanyak dua kali.
b. Blogger, pengulas media sosial, aktivis mahasiswa dan pembela hak asasi manusia terus berdepan siasatan, soal siasat dan tindakan penguatkuasaan kerana pandangan yang mereka suarakan dalam talian. Pada masa yang sama, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia terus memberikan kesan menakutkan terhadap kebebasan bersuara. Peruntukan yang pernah dikecam ketika PH berada dalam pembangkang tidak boleh tiba-tiba dianggap boleh diterima hanya kerana PH kini berkuasa.
c. Kebebasan badan kehakiman, yang merupakan benteng terakhir keadilan, juga tidak terlepas daripada persoalan serius di bawah kerajaan ini. Tindakan Anwar melantik bekas PeguamNegaranya, Ahmad Terrirudin Salleh, secara terus ke Mahkamah Persekutuan, diikuti dengan pelantikannya ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman walaupun terdapat hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang lebih kanan, serta dakwaan bahawa Terrirudin telah campur tangan dalam badan kehakiman, telah mencetuskan kebimbangan awam yang munasabah mengenai ketelusan dan kebebasan proses pelantikan kehakiman serta sama ada Anwar cenderung untuk melantik “orang-orangnya” dalam badan kehakiman.
d. Akta Perolehan Kerajaan 2025, yang dipromosikan sebagai satu reformasi besar bagi membanteras rasuah, sebaliknya mengekalkan kuasa yang luas kepada Menteri untuk meluluskan perolehan dan memberikan pengecualian. Ini menyebabkan perbelanjaan awam bernilai berbilion ringgit terus terdedah kepada budi bicara politik dan bukannya penelitian yang benar-benar bebas, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Anwar secara senyap membenarkan budaya “sakau” terus hidup dalam sistem.
e. Politik ketakutan berasaskan kaum, sikap tidak menghormatikepercayaan agama dan perpecahan masyarakat terus meracuni wacana nasional secara berbahaya, sementara ahli-ahli politik dan golongan ekstremis terus mengeksploitasi isu kaum dan agama demi kepentingan politik. Anwar sendiri turut mempunyai peranan dalam menyumbang kepada kebencian berasaskan kaum dan agama apabila beliau gagal menangani pelbagai isu dengan sewajarnya.
f. Tiada usaha yang serius, praktikal dan berterusan untuk merangka serta melaksanakan pelan sosioekonomi jangka panjang bagi menangani ketertinggalan yang telah berakar umbi serta kemiskinan unik yang dihadapi oleh masyarakat minoriti India dan Orang Asli di Malaysia.
g. Kematian dalam tahanan serta kejadian tembakan misteri terhadap suspek terus menghantui negara. Dalam kes tembakan polis di Durian Tunggal, satu rakaman audio menunjukkan bahawa tiga lelaki tersebut ditembak mati dari jarak dekat, dengan salah seorang mangsa kedengaran merayu agar nyawanya diselamatkan sebelum ditembak mati.
h. Keadilan untuk Teoh Beng Hock masih belum tercapai selepas 17 tahun, tanpa sebarang tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
i. Seorang pegawai tribunal Kastam ditemui mati dengan leher dan kakinya diikat menggunakan pengikat kabel (cable ties) di bangunan Kementerian Kewangan, namun polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut dan menolak kemungkinan berlakunya perbuatan khianat.
j. Pamela Ling hilang pada siang hari ketika dilaporkan dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM dan sehingga kini masih belum ditemui.
k. Di manakah reformasi yang akan memastikan SPRM, agensi-agensi penguatkuasaan dan GLC benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat?
l. Sebaliknya, rakyat biasa dan golongan perniagaan dibebankan dengan pelbagai langkah seperti e-Invois, sedangkan persoalan-persoalan asas mengenai perbelanjaan awam dan akauntabiliti masih belum terjawab.
Semua reformasi ini bukannya sesuatu yang mustahil sehingga memerlukan satu revolusi. Kebanyakannya hanya memerlukan kemahuan politik, perundangan, ketelusan serta keberanian untuk menggunakan kuasa besar yang telah pun diamanahkan oleh rakyat kepada kerajaan ini.
Justeru, DAP mesti memberitahu rakyat Malaysia: adakah Reformasi telah disekat oleh pihak lain dalam Kerajaan Perpaduan, dikompromikan demi mempertahankan kuasa Anwar, atau ditinggalkan begitu sahaja setelah kuasa berjaya diperoleh?
Waytha Moorthy Ponnusamy
Presiden
Malaysian Advancement Party (MAP)
11 Ogos 2026