SOLIDARITI BERSAMA DATUK SHUHAILY. JANGAN BIARKAN HARAPAN RAKYAT PADAM.
Rakyat Malaysia wajar memulakan petisyen dalam talian sebagai tanda solidariti bersama Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain demi sebuah pasukan polis yang bebas rasuah, berintegriti dan progresif.
Apabila seorang pegawai berani menegur kepincangan dalam pasukannya sendiri, keberanian itu mesti mendapat sokongan rakyat. Lebih-lebih lagi apabila kita kini melihat terdapat persepsi bahawa terdapat “kartel” bukan sahaja dalam pasukan polis malah dalam kebanyakan system pentadbiran negara.
Datuk Shuhaily bersuara tentang dakwaan hubungan anggota polis dengan sindiket jenayah. Beliau mempersoalkan kemewahan yang tidak sepadan dengan pendapatan dan menuntut pegawai atasan bertanggungjawab terhadap anggota di bawah seliaan mereka. Beliau turut mengumumkan audit harta bagi pegawai yang memegang jawatan sensitif.
Perkara ini menyentuh soal amanah, keselamatan dan keyakinan rakyat.
Walau apa pun pengalaman kita dengan PDRM, walau sedalam mana kekecewaan atau keraguan kita, keberanian Datuk Shuhaily menegur dakwaan salah laku dalam pasukannya sendiri memberi kita sebab untuk terus menaruh harapan dan mempercayai bahawa masih adalagi ramai anggota yang berwibawa tetapi mereka mungkin “segan” bercakap secara lantang.
Bagi rakyat yang masih percaya bahawa institusi negara boleh diperbaiki, Datuk Shuhaily membawa harapan itu.
Harapan untuk melihat kepimpinan polis yang bersih, berintegriti dan berani bertindak tanpa pilih kasih. Harapan bahawa pegawai yang jujur masih mempunyai ruang untuk membawa perubahan.
Kita tidak boleh mengharapkan pegawai yang berani, kemudian membiarkan mereka bersendirian apabila berdepan “tekanan”.
Petisyen ini boleh menjadi sokongan moral kepada Datuk Shuhaily dan setiap pegawai yang berani menolak rasuah. Mesejnya jelas:
Anda tidak bersendirian. Kejujuran anda dihargai. Rakyat bersama anda dalam usaha membina pasukan polis yang bebas rasuah dan berintegriti.
Saya menyeru rakyat yang prihatin dan pertubuhan masyarakat sivil supaya menggerakkan usaha ini. Merentaskaum, agama dan pegangan politik, kita semua memerlukan pasukan polis yang boleh dipercayai.
Jangan kita hanya mengeluh, kemudian berharap keadaan akan pulih dengan sendiri. Perubahan memerlukan rakyat yang sanggup bersuara dan bertindak.