Waytha's Blog Waytha's Blog
Waytha's Blog Waytha's Blog

KRISIS DIRAJA NEGERI SEMBILAN MENDEDAHKAN JURANG SERIUS DALAM REMEDI PERLEMBAGAAN MALAYSIA

MEMPERKASA MAHKAMAH PERSEKUTUAN KINI SUATU KEPERLUAN

Krisis perlembagaan di Negeri Sembilan telah mengetengahkan suatu isu yang lebih mendasar yang tidak lagi boleh diabaikan oleh Malaysia.

Oleh itu, ia menuntut pertimbangan serius sama ada Mahkamah Persekutuan wajar diberikan kuasa perlembagaan yang lebih luas untuk bertindak dengan segera apabila sesuatu kebuntuan perlembagaan mengancam institusi raja berperlembagaan, kerajaan atau kedaulatan undang-undang.

Kini terdapat tuntutan-tuntutan perlembagaan yang serius dan saling bercanggah berhubung pentadbiran dan pemerintahan Negeri Sembilan:

i) Adakah Perkara X telah dipatuhi dalam turun tahta Yang di-Pertuan Besar yang dipertikaikan?

ii) Bolehkah keempat-empat Undang menurunan tahta seorang Yang di-Pertuan Besar tanpa terlebih dahulu membuktikan alasan-alasan khusus serta mematuhi syarat-syarat mandatori yang ditetapkan oleh Perkara X?

iii) Adakah pelantikan seterusnya seorang Yang di-Pertuan Besar yang baharu sah di sisi Perlembagaan?

iv) Siapakah Undang yang sah dan diiktiraf pada masa ini di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan?

v) Apakah kesahan di sisi Perlembagaan bagi perisytiharan yang dipertikaikan dan diperakukan oleh Menteri Besar, yang sebelum itu telah menyatakan bahawa tandatangannya diperoleh di bawah paksaan?

vi) Adakah penyingkiran sepuluh orang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sah di sisi Perlembagaan?

Ini bukan lagi isu-isu kecil. Ia melibatkan identiti dan kewibawaan yang sah bagi institusi-institusi utama perlembagaan negeri.

Keadaan ini menimbulkan suatu cabaran perlembagaan yang besar. Walaupun Perkara XXXIV(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 membenarkan persoalan perlembagaan dirujuk untuk mendapatkan pendapat kehakiman, proses tersebut mungkin terhalang sekiranya Undang yang diperlukan untuk memulakan proses tersebut sendiri terlibat dalam pertikaian, berpecah sesama mereka, atau kedudukan undang-undang mereka sendiri dipertikaikan.

Krisis Diraja Negeri Sembilan, bersama-sama cabaran perlembagaan serius yang lain, mendedahkan suatu jurang yang ketara dalam kerangka perlembagaan kita pada masa ini.

Badan Kehakiman pada masa ini tidak diberikan bidang kuasa yang mencukupi untuk memastikan bahawa pertikaian perlembagaan yang luar biasaseperti krisis kini dapat dibawa ke hadapan mahkamah serta diputuskan secara berkesan dan tanpa kelewatan yang tidak wajar.

AKSES LANGSUNG KEPADA KEADILAN PERLEMBAGAAN – MODEL PERLEMBAGAAN INDIA

India menawarkan suatu contoh yang amat relevan mengenai akses langsung kepada keadilan perlembagaan, walaupun peruntukannya perlu disesuaikan — dan bukannya sekadar diterapkan bulat-bulat — dengan sistem raja berperlembagaan dan sistem persekutuan Malaysia.

Perkara 32 Perlembagaan India memberikan akses langsung kepada Mahkamah Agung bagi penguatkuasaan hak-hak asasi, manakala Perkara 226 memberikan bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Tinggi, yang melangkaui hak-hak asasi dan turut merangkumi hak-hak lain di sisi undang-undang.

Prinsip terasnya ialah Mahkamah Persekutuan hendaklah mempunyai kuasa yang mencukupi untuk memberikan remedi perlembagaan yang berkesan, melindungi kedaulatan undang-undang dan memelihara pemisahan kuasa.

Malaysia tidak lagi mampu berlengah untuk menerima pakai versinya sendiri berasaskan prinsip tersebut, yang disesuaikan dengan teliti kepada sistem raja berperlembagaan, struktur persekutuan dan sistem pemerintahan kita.

Pada masa ini, bidang kuasa Mahkamah Persekutuan pada asasnya dilaksanakan melalui saluran-saluran yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, termasuk bidang kuasa asal dan rayuannya, rujukan perlembagaan serta bidang kuasa nasihat di bawah Perkara 130.

Krisis Negeri Sembilan, cabaran perlembagaan terhadap kelayakan Anwar Ibrahim untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri, serta cabaran terhadap keperlembagaan Perjanjian ART Malaysia-AS, kesemuanya menggambarkan kelemahan yang sama.

Persoalan-persoalan perlembagaan yang mendasar boleh terperangkap dalam isu locus standi, permohonan untuk membatalkan tindakan, serta proses prosedur dan rayuan yang berpanjangan. Dalam system sedia ada apabila suatu keputusan muktamad dan berautoriti akhirnya diperoleh, kemudaratan perlembagaan yang cuba dicegah mungkin telah pun berlaku.

DUA PEMBAHARUAN YANG BERBEZA WAJAR DIPERTIMBANGKAN

Negara kita wajar mempertimbangkan dua pembaharuan perlembagaan yang berasingan tetapi saling melengkapi.

1. Hak akses langsung kepada Mahkamah Persekutuan bagi persoalan perlembagaan

Seseorang Raja/Pemerintah dan seseorang yang mempunyai kepentingan perlembagaan yang mencukupi, atau pemegang jawatan perlembagaan lain yang ditetapkan, hendaklah dalam keadaan luar biasa dibenarkan memohon terus kepada Mahkamah Persekutuan bagi penentuan suatu persoalan perlembagaan yang substantif.

Mekanisme sedemikian boleh mengelakkan persoalan-persoalan perlembagaan yang mendasar daripada terus tidak terjawab hanya kerana kaedah konvensional mengenai locus standi menghalang pemohon yang sesuai daripada membawa isu tersebut ke hadapan Mahkamah.

Sesebuah Perlembagaan tidak seharusnya gagal memberikan suatu jawapan semata-mata kerana identiti orang yang berhak mengemukakan persoalan itu sendiri merupakan sebahagian daripada pertikaian.

2. BIDANG KUASA SUO MOTU YANG TERHAD

Malaysia wajar mempertimbangkan pemberian kepada Mahkamah Persekutuan suatu bidang kuasa perlembagaan suo motu yang ditakrifkan secara nyata dan hanya terpakai dalam keadaan luar biasa.

Ia akan membolehkan Mahkamah Persekutuan, dalam keadaan yang ditetapkan, bertindak dengan segera dan memberikan penyelesaian yang tepat pada masanya serta berautoriti apabila sesuatu kebuntuan perlembagaan yang luar biasa mengancam pemerintahan berperlembagaan dan mekanisme kehakiman biasa telah menjadi tidak berkesan atau lumpuh. Ini akan memperkukuh pemisahan kuasa dan memastikan kedaulatan undang-undang mengatasi kebuntuan perlembagaan.

Akses langsung kepada keadilan perlembagaan memastikan seseorang boleh membawa persoalan perlembagaan yang luar biasa ke hadapan Mahkamah.

Ini tidak seharusnya menjadi suatu kuasa tanpa batasan yang membolehkan mahkamah mencampuri kontroversi politik biasa.

Bidang kuasa tersebut boleh dihadkan kepada kes-kes luar biasa yang melibatkan persoalan substantif mengenai kewujudan, identiti, kuasa atau fungsi institusi-institusi perlembagaan, atau persoalan perlembagaan lain yang mempunyai kepentingan nasional atau awam yang setara dan memerlukan penentuan segera.

Mahkamah Persekutuan hendaklah mengekalkan kuasa untuk menolak secara terus percubaan yang remeh, bersifat politik semata-mata, hipotetikal atau menyalahgunakan proses untuk menggunakan bidang kuasa tersebut.

PARLIMEN WAJAR MEMPERTIMBANGKAN PEMBAHARUAN PERLEMBAGAAN

Penggubal undang-undang Persekutuan wajar mempertimbangkan pindaan yang sesuai kepada Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, khususnya dalam kerangka perlembagaan sedia ada yang mengawal kuasa kehakiman dan bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Bidang kuasa tersebut, ambang bagi campur tangan, pihak yang berhak menggunakan akses langsung, keadaan yang membenarkan campur tangan suo motu, serta perlindungan terhadap penyalahgunaan hendaklah ditakrifkan dengan jelas.

Objektifnya bukan untuk memperluaskan kuasa kehakiman semata-mata demi memperluaskan kuasa itu sendiri, tetapi untuk memastikan Badan Kehakiman diberikan kuasa yang mencukupi bagi melaksanakan peranan perlembagaannya, mempertahankan kedaulatan undang-undang dan memperkukuh pemisahan kuasa dengan memastikan bahawa tiada kebuntuan perlembagaan dibiarkan berada di luar jangkauan suatu penentuan kehakiman yang berautoriti.

Krisis Negeri Sembilan seharusnya menjadi pemangkin kepada Parlimen untuk meneliti dan mempertimbangkan secara positif bahawa Malaysia kini memerlukan kedua-duanya — suatu hak akses langsung kepada keadilan perlembagaan yang ditakrifkan dengan teliti dan, bagi kebuntuan perlembagaan yang benar-benar luar biasa, suatu bidang kuasa suo motu yang nyata dan terhad bagi Mahkamah Persekutuan.

Waytha Moorthy Ponnusamy

  • Facebook
  • X
  • LinkedIn
  • WhatsApp
  • Email
Next article: NEGERI SEMBILAN ROYAL CRISIS REVEALS A SERIOUS VOID IN MALAYSIA’S CONSTITUTIONAL REMEDIES. Next