Waytha's Blog Waytha's Blog
Waytha's Blog Waytha's Blog

NEGARA KINI MENATAP KE ARAH ISTANA NEGARA DEMI PANDUAN PERLEMBAGAAN

Pengenalan

2 PERSOALAN PERLEMBAGAAN SERIUS

Bagaimanakah rakyat Malaysia seharusnya benar-benar bertindak apabila maruah, kedudukan perlembagaan dan kesucian institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu serta demokrasi berparlimen berdepan dengan penghakisan yang serius dan belum pernah berlaku sebelum ini akibat daripada tindakan dan perlakuan seorang individu — Anwar Ibrahim — dalam keadaan yang cukup serius sehingga mencetuskan kebimbangan nasional yang mendalam, kewaspadaan perlembagaan, dan penelitian awam yang mendesak?

Persoalan ini menjadi jauh lebih serius dan sarat dengan implikasi perlembagaan apabila dinilai dalam konteks dua kontroversi luar biasa dan belum pernah berlaku sebelum ini yang kini sedang berada di hadapan mahkamah — kontroversi yang, pada pandangan mana-mana rakyat Malaysia yang waras, objektif dan berpemikiran rasional, sewajarnya mencetuskan tahap kewaspadaan perlembagaan yang paling tinggi, kebimbangan nasional yang mendalam, serta pendekatan institusi yang amat berhati-hati dan penuh tanggungjawab:

1. Cabaran perlembagaan yang mempertikaikan kesahihan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri walaupun wujud kehilangan kelayakan perlembagaan yang jelas dan masih berterusan di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan daripada memegang jawatan awam; dan
2. Cabaran perlembagaan terhadap tindakan unilateral Perdana Menteri menandatangani perjanjian perdagangan yang dikenali sebagai “Perjanjian Trump”, tanpa kelulusan awal Parlimen sebagaimana dikehendaki di bawah Perkara 69 Perlembagaan Persekutuan, serta dilakukan dengan cara yang secara langsung mencabar dan mencemarkan kedudukan perlembagaan, prerogatif, maruah dan kepentingan institusi Yang di-PertuanAgong, Majlis Raja-Raja, dan Negeri-Negeri.

KUASA DYMM AGONG BAWAH PERKARA 130

Hakikatnya, kedua-dua kontroversi perlembagaan ini melibatkan persoalan yang menyentuh kuasa, maruah dan kedudukan perlembagaan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu.

Sekiranya, beberapa tahun kemudian, mahkamah akhirnya memutuskan bahawa Anwar Ibrahim sememangnya telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri secara tidak sah dari sudut perlembagaan kerana kehilangan kelayakan tersebut, tidakkah keadaan itu akan meletakkan institusi Diraja dalam kedudukan yang amat tidak selesa dan membebankan dari sudut perlembagaan?

Sekiranya Mahkamah Persekutuan kemudiannya memutuskan bahawa Perjanjian Trump tersebut adalah tidak sah di sisi undang-undang, tidakkah perkara itu juga akan menimbulkan implikasi yang amat menjatuhkan martabat dan mengaibkan terhadap institusi Diraja dan mencetuskan persoalan institusi yang mendalam, dan mencemar nama Malaysia di kaca mata dunia?

Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:

Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah

Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan

mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit

atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah

Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang

apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam

mahkamah terbuka.

Perkara 130 diwujudkan khusus untuk saat-saat di mana kepastian perlembagaan menjadi penting demi kestabilan negara. Oleh itu, menyeru secara penuh hormat agar suatu Rujukan Diraja di bawah Perkara 130 dibuat bukanlah suatu tindakan yang melanggar adat dan tatatertib istana, tetapi suatu penzahiran kesetiaan kepada Perlembagaan, Institusi Raja Berperlembagaan, dan kedaulatan undang-undang itu sendiri.

Samada bekas dan Menteri semasa, Ahli Parlimen, Hakim, penjawat awam kanan dan pemimpin negara tidak boleh terus menjadi pemerhati yang membisu ketika negara berada di persimpangan perlembagaan yang begitu berbahaya. Sumpah, tanggungjawab dan kewajipan moral mereka untuk mempertahankan Perlembagaan tidak terhapus hanya kerana mereka telah meninggalkan jawatan, ataupun kerana mereka kini berada dalam sistem kuasa dan pentadbiran negara.

Pada saat-saat seperti ini, sikap membisu daripada mereka yang pernah dan masih bersumpah mempertahankan Perlembagaan bukan lagi suatu sikap berkecuali. Ia merupakan satu bentuk keakuran — dan keakuran itu amat berbahaya.

Sejarah telah berulang kali membuktikan bahawa keruntuhan perlembagaan jarang bermula dengan kejatuhan yang dramatik — ia bermula dengan ketakutan, sikap tidak peduli, kepentingan politik, usaha mempertahankan kedudukan oleh mereka dalam sistem yang memilih untuk berdiam diri demi melindungi kepentingan sendiri, serta kegagalan kolektif mereka yang diamanahkan untuk mempertahankan negara daripada bersuara ketika ia paling diperlukan.

Institusi perlembagaan Malaysia dan para pemegang jawatanawam kini mesti bangkit dengan keberanian, kejelasan dan dengan penuh sikap kenegarawanan untuk menuntut penjelasan perlembagaan sepenuhnya melalui kebijaksanaan, kewibawaan dan naungan Yang di-Pertuan Agong — bukan untuk melemahkan institusi Persekutuan, tetapi demi mengelakkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap legitimasi, kesucian dan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut bagi generasi yang akan datang.

CABARAN PERLEMBAGAAN TERHADAP PELANTIKAN ANWAR IBRAHIM

Semasa prosiding cabaran perlembagaan saya, peguam yang mewakili Perdana Menteri telah mengakui, lebih daripada sekali, bahawa tiada pembatalan kehilangan kelayakan secara nyata di bawah Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan diperolehi daripada Yang di-Pertuan Agong — namun pada masa yang sama mendakwa bahawa pembatalan kehilangan layak bertanding sedemikian tidak diperlukan.

Pembelaan yang dikemukakan oleh Anwar bukanlah untukmenjawab inti pati persoalan perlembagaan tersebut melalui keterangan afidavit. Sebaliknya, Anwar memilih untuk menangani cabaran itu melalui permohonan pembatalan secara prosedural (strike out).

Adalah penting untuk rakyat Malaysia memahami bahawa cabaran saya bukanlah suatu petisyen pilihan raya di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini telah saya nyatakan secara jelas di hadapan Mahkamah.

Untuk penjelasan, petisyen pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 lazimnya terhad kepada golongan tertentu sahaja, iaitu:

i) calon yang bertanding dalam pilihan raya tersebut; dan
ii) pengundi dalam kawasan pilihan raya berkenaan.

Namun, cabaran saya adalah berbeza secara asasnya. Ia melibatkan terutamanya Perkara 48 dan 50(2) Perlembagaan Persekutuan — peruntukan yang menyentuh kehilangan kelayakan untuk bertanding bawah perlembagaan. Oleh itu, isu yang dibangkitkan bukanlah ketidakaturan pilihan raya, tetapi kehilangan kelayakan perlembagaan untuk bertanding, dan sama ada akibat kehilangan kelayakan bertanding tersebut menjadikan pilihan raya itu terbatal dan seterusnya pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tidak berperlembagaan.

Pada terasnya, persoalan di hadapan mahkamah adalah mudah:

a) Bolehkah seseorang yang masih tertakluk kepada kehilangan kelayakan bertanding dibawah perlembagaan yang berterusan menurut Perkara 48 secara sah mengemukakan kertas penamaan, bertanding dalam pilihan raya Parlimen, dipilih ke Dewan Rakyat, dan akhirnya memegang jawatan Perdana Menteri — atau adakah membenarkan rangkaian peristiwa sedemikian menjejaskan asas keluhuran perlembagaan, legitimasi pilihan raya dan kedaulatan undang-undang yang menjadi asas Persekutuan itu sendiri?

b) Bolehkah seseorang yang berhadapan dengan persoalan perlembagaan yang serius, belum diselesaikan dan mempunyai implikasi yang luas dibenarkan mengelak penelitian kehakiman sepenuhnya melalui prosiding pembatalan prosedural — dan yang lebih penting, patutkah hakim sendiri membenarkan cabaran perlembagaan sedemikian ditolak tanpa perbicaraan penuh atas merit, walaupun isu tersebut secara langsung menyentuh kesahihan kelayakan, pelantikan dan pelaksanaan kuasa eksekutif oleh Anwar?

c) Bolehkah kaedah-kaedah prosedur mahkamah yang digubal semata-mata untuk mengawal amalan dan tatacara mahkamah digunakan untuk menggagalkan atau menamatkan lebih awal suatu cabaran perlembagaan yang sah berkaitan pengambilalihan jawatan Perdana Menteri secara tidak sah oleh Anwar Ibrahim?

Malangnya, apabila mahkamah membenarkan pertikaian perlembagaan sebesar dan seserius ini dilupuskan atas alasan-alasan prosedural semata-mata sebelum keterangan diuji serta persoalan-persoalan perlembagaan tersebut dibicarakan, dihujahkan dan diputuskan sepenuhnya, mana-mana individu yang berfikiran waras pasti akan tertanya-tanya sama ada Badan Kehakiman, secara sedar ataupun tidak sedar, sedang membenarkan mekanisme teknikal mengatasi kewajipan perlembagaannya yang lebih tinggi untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan serta melindungi negara daripada penormalan berbahaya terhadap pelaksanaan kuasa yang berpotensi tidak berperlembagaan.

PERJANJIAN ART DAN PERANAN MAJLIS RAJA-RAJA

Perkara kedua melibatkan Perjanjian Trump yang ditandatangani oleh Perdana Menteri bagi pihak Malaysia.

Perkara 69 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawahanya “Persekutuan mempunyai kuasa membuat kontrak”. Perkataan tersebut disengajakan. Perlembagaan tidak memberikan kuasa tersebut kepada Perdana Menteri.

Persekutuan ialah suatu binaan perlembagaan yang terdiri daripada pelbagai institusi — termasuk Parlimen, Eksekutif yang bertindak dalam batas perlembagaan, Majlis Raja-Raja, dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong yang berfungsi dalam kerangka perlembagaan.

Kebimbangan menjadi lebih serius apabila perjanjian tersebut menyentuh perkara yang melibatkan kepentingan negeri, pertimbangan kedaulatan, dan urusan kewangan yang melibatkan Negeri-Negeri.

Perkara 38(2) dan 71(1), bersama-sama Jadual Kesepuluh Perlembagaan, tidak boleh diketepikan sesuka hati demi memenuhi kehendak politik Anwar Ibrahim.

Perkara 38(2) melindungi maruah perlembagaan dan peranan institusi Majlis Raja-Raja.

Perkara 71(1) menjamin integriti perlembagaan Negeri-Negeri.

Jadual Kesepuluh mengawal selia pengaturan kewangan antara Persekutuan dan Negeri-Negeri.

Sekiranya suatu perjanjian antarabangsa memberi kesan besar terhadap kedaulatan negara, hal ehwal negeri, sumber negeri, atau perkara yang menyentuh kedudukan perlembagaan Raja-Raja, maka persoalan perlembagaan yang serius timbul sama ada:

i) Perdana Menteri boleh secara perlembagaan mengikat Persekutuan kepada suatu perjanjian atau kontrak antarabangsa tanpa terlebih dahulu mendapatkan kelulusan Parlimen dan rundingan Diraja yang sewajarnya; dan

ii) Perdana Menteri boleh secara sah mengikat Persekutuan kepada perjanjian sedemikian terlebih dahulu, dan hanya selepas itu mendapatkan kelulusan Parlimen serta perkenan Diraja.

Lima Ahli Parlimen kini telah memulakan tindakan undang-undang mencabar keperlembagaan tindakan Perdana Menteri tersebut.

Sekali lagi, respons Anwar adalah bersifat prosedural melalui permohonan pembatalan tanpa menjawab inti pati kuasa perlembagaan sebenar yang terletak padanya.

Sekali lagi, penjelasan perlembagaan secara substantif berisiko dilengah-lengahkan.

Sekali lagi, rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada persoalan perlembagaan yang begitu penting kepada negara akan  menerima penentuan kehakiman yang penuh dan berwibawa sebelum berlakunya kesan politik yang tidak dapat dipulihkan.

Ini menimbulkan persoalan yang tidak selesa tetapi perlu ditanya:

1. Apakah yang akan berlaku apabila persoalan perlembagaan serius yang melibatkan kepentingan negara diketepikan dan ditolak oleh sistem keadilan demi menegakkan Kaedah-Kaedah Mahkamah yang bersifat subordinat kepada Perlembagaan;
2. Bolehkah Badan Kehakiman mengenepikan peruntukan perlembagaan yang substantif dengan mengutamakan pelupusan cabaran perlembagaan melalui prosedur pembatalan yang hanya berasaskan kaedah prosedural subsidiari?
3. Patutkah Badan Kehakiman mengambil pendekatan perlembagaan yang teguh dan purposif apabila berhadapan dengan dakwaan pelanggaran serius Perlembagaan Persekutuan, atau kekal sebagai pemerhati pasif dengan membenarkan persoalan perlembagaan substantif ditewaskan atas alasan teknikal prosedur atas nama kaedah prosedural?

Kedua-dua permohonan saya dan permohonan 5 Ahli Parlimen untuk merujuk persoalan perlembagaan secara terus kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman telah difailkan terlebih dahulu. Namun dalam kes saya, Mahkamah memilih untuk mendengar permohonan pembatalan terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada persoalan perlembagaan tersebut wajar dirujuk. Sama ada nasib yang sama akan menimpa 5 Ahli Parlimen tersebut masih belum diketahui.

Sekiranya persoalan perlembagaan boleh dineutralkan secara prosedural sehingga akhirnya masa sendiri menjadikannya akademik, maka kebertanggungjawaban perlembagaan akhirnya bergantung bukan kepada keluhuran Perlembagaan, tetapi kepada masa politik, percaturan prosedural, dan keupayaan mengelakkan penelitian kehakiman substantif.

PENGENDALIAN KEHAKIMAN ATAU PENGABAIAN PERLEMBAGAAN?

Kesimpulannya, Badan Kehakiman berdiri sebagai benteng terakhir perlembagaan dan kubu terakhir keadilan yang melindungi rakyat daripada penghakisan sewenang-wenangnya terhadap tertib perlembagaan negara.

Apabila timbul persoalan serius mengenai keabsahan pelantikan Anwar Ibrahim, kesucian institusi demokrasi, dan kedudukan perlembagaan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Parlimen dan Persekutuan itu sendiri, mahkamahtidak boleh dilihat berlindung di sebalik halangan prosedur atau formaliti teknikal. Negara memandang kepada Badan Kehakiman bukan sekadar untuk melupuskan kes, tetapi untuk dengan berani menegakkan keluhuran perlembagaan, memelihara keyakinan awam terhadap kedaulatan undang-undang, dan memastikan bahawa tiada sesiapa termasukAnwar Ibrahim — tanpa mengira jawatan, pengaruh ataukuasa politik — berada di atas Perlembagaan.

Ramai mempersoalkan sama ada mahkamah benar-benar bersedia menggunakan kuasa tersebut dengan tegas apabila kontroversi perlembagaan melibatkan jawatan tertinggi negara.

Tiada demokrasi berperlembagaan dapat kekal sihat sekiranya persoalan perlembagaan yang sukar terus-menerus ditangguhkan, disempitkan, atau dijadikan akademik melalui pelupusan prosedural sebelum penghakiman substantif berlaku.

Memandangkan keadaan perlembagaan negara yang amat serius ketika ini, serta kebuntuan institusi yang telah dan berkemungkinan akan terus berlaku akibat kelemahan sistem kehakiman sedia ada, rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat sewajarnya dengan penuh hormat memohon kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong supaya menggunakan Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan dan merujuk persoalan-persoalan perlembagaan yang kritikal ini kepada Mahkamah Persekutuan untuk penentuan yang berwibawa dan muktamad oleh suatu panel penuh mahkamah tertinggi negara, selaras dengan tahap keseriusan perlembagaan yang luar biasa, kepentingan nasional, dan implikasi luas yang terlibat.

Waytha Moorthy Ponnusamy
Presiden
Parti Kemajuan Malaysia (MAP)
19 Mei 2026

 

  • Facebook
  • X
  • LinkedIn
  • WhatsApp
  • Email
Previous article: THE NATION NOW LOOKS TO THE THRONE FOR CONSTITUTIONAL GUIDANCE Prev Next article: 6 Mounting Political Crisis That Could Force Anwar Into Snap Elections Next