Sindiket Mafia Pasar Selayang. Mengapa Pelarian Rohingya MenjadiKambing Hitam Rasuah Tempatan?
Sejak kebelakangan ini, sentimen masyarakat Malaysia terhadap pelarian Rohingya semakin meruncing. Ramai yang melihat kehadiran mereka sebagai satu ancaman yang merosakkan ketenteraman awam dan ekonomi tempatan.
Kemarahan ini paling jelas kelihatan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Harian Selayang di mana rata-rata komuniti Melayu kecewa melihat warga Rohingya seolah-olah "menguasai" ruang perniagaan secara haram. Akibatnya, timbul desakan keras untuk mengusir dan menghantar mereka pulang ke negara asal. Namun, adakah menghantar mereka kembali ke medan perang dan menghadapi kematian merupakan jalan penyelesaian yang berperikemanusiaan dan dituntut oleh hati nurani kita yang beragama?"
Hakikatnya, masyarakat kita telah dikaburkan daripada realiti sebenar. Monopoli perniagaan di Pasar Borong Selayang bukanlah rancangan licik pelarian yang daif, melainkan tindakan terancang oleh kumpulan mafia tempatan yang mengawal segalanya dari balik tabir. Pihak berkuasa tempatan seperti DBKL dan Majlis Perbandaran Selayang mengendalikan pengeluaran permit perniagaan. Persoalan besar yang jarang dipersoalkan ialah: Siapakah pemilik sebenar lesen-lesen ini yang sengaja menyewakannya kepada warga asing demi keuntungan atas angin?
Perkara yang sama berlaku di China Town Kl dimanasegala perniagaan dikendalikan oleh warga Bangladesh.
Sistem ini berjalan dengan pengetahuan penuh pihak imigresen, kementerian, dan agensi penguatkuasa. Namun, tiada tindakan tegas diambil kerana rantaian perniagaan ini dilindungi oleh rangkaian mafia korup sehingga DBKL dan majlis Perbandaran Selayang tidak mengambil tindakan. Rasuah yang berakar umbi inilah yang membolehkan mafia korup ini mengawal dan memanipulasi harga barangan keperluan harian yang asas. Ironinya, rakyat marhaen terus disogok dengan naratif kononnya faktor luaran atau kewujudan pelarian yang menyebabkan kita kehilangan peluang perniagaan, kos harga sayur dan sara hidup meningkat, sedangkan poket kartel tempatan yang semakin tebal.
Sebagai masyarakat yang mendasari hidup dengan sifat rahmah, masyarakat Malaysia perlu sedar bahawa pelarian Rohingya hanyalah mangsa keadaan—baik di tanah air mereka mahupun di pasaran gelap kita yang dikawal oleh mafia tempatan. Menolak mereka kembali ke tangan junta tentera yang zalim di Myanmar bererti menghantar mereka ke lubang kematian. Tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi kita selagi sistem rasuah sewa lesen dan perlindungan haram oleh Mafia Pasar Selayang tidak dibenteras.
Kunci penyelesaiannya bukan dengan membenci komuniti yang tertindas, tetapi dengan mendesak reformasi total terhadap integriti penguatkuasaan. Sudah tiba masanya kita rakyat Malaysia kembali membuka hati, mempamerkan sifat ihsan dan kasih sayang kepada mangsa kekejaman, sambil bersama-sama menentang musuh sebenar negara: rasuah yang membusuk di dalam sistem kita sendiri.
Waytha Moorthy Ponnusamy
13.10.2026