Pengundi Cina dan India tidak lagi mencari pemimpin kitar semula.
Keterujaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) terhadap minatMIC dan MCA untuk menyertai gabungan mereka mendedahkan kejahilan mendalam terhadap realiti politik kaum bukan Melayu. Kemasukan dua parti ini tidak akan secara automatik diterjemahkan kepada peningkatan sokongan Cina atau India. Untuk memahami mengapa, PN perlu terlebih dahulu berdepan dengan punca penolakan MIC dan MCA oleh komuniti masing-masing. Tanpa menangani isu-isu asas ini, kedua-dua parti tersebut berisiko menjadi liabiliti berbanding aset.
Sejak PRU12, hubungan MIC dan MCA dengan BarisanNasional (BN) lebih banyak menjadi beban daripada manfaat. Peminggiran mereka dalam BN mencerminkan kegagalan BN untuk menyesuaikan diri dengan kematangan politik pengundibukan Melayu — kegagalan yang menjadikan kedua-duanyasemakin tidak relevan.
Titik perubahan datang dengan Himpunan Hindraf 2007. Seruan agar pengundi India menyokong pembangkang secara en bloc telah mencetuskan kebangkitan politik yang bergema jauh melangkaui komuniti India. Himpunan itu bukan sahajamenyemarakkan sokongan terhadap PAS, DAP, dan PKR padaPRU12, malah memberi isyarat jelas kepada pengundi Cinabahawa sudah tiba masanya menilai semula kesetiaan mereka terhadap BN. Walaupun masyarakat Cina sebelum itu agak selesa dengan susunan ekonomi BN, sikap BN yang mengabaikan hak asasi manusia dan ketelusan — ditambah dengan penindasan terhadap perjuangan Hindraf yang melabelkan kami mempunyai kaitan dengan LTTE dan penahanan dibawah ISA— menimbulkan kekecewaan yang meluas.
Kebangkitan Hindraf menandakan satu perubahan bersejarah. Kempen sukarela oleh penyokong kami atas arahan saya secara langsung menyumbang kepada kehilangan majoriti dua pertiga BN dan kekalahan lima negeri — satu gempa politik. Sejak itu, MIC dan MCA tidak lagi dilihat sebagai suara kredibel bagi komuniti mereka. Di bawah kepimpinan Hindraf, masyarakat India secara jelas diarahkan untuk menyokong PKR dan DAP dan arahan saya ini diterima sepenuhnya oleh pengundi India. Pada masa yang sama, masyarakat Cina beralih kepada DAP sebagai allternatif baharu, sementara PAS turut menyaksikan sokongan kaum India yang belum pernah terjadi sebelum ini — sesuatu yang amat mengecewakan UMNO. Ini berlarutan di PRU 13 bilamana Ucapan terkenal Najib selepas PRU13, “Apa lagiCina mahu,” mendedahkan betapa gagalnya BN memahami landskap politik baharu.
Kini, Bersatu yang merupakan bekas pimpinan dari UMNO, dan PAS, dilihat sama-sama buta terhadap realiti ini. Kedua-dua parti terus salah tafsir aspirasi pengundi bukan Melayu, menampilkan alternatif kosmetik seperti DHPP atau sayap bukan Melayu Bersatu sambil menawarkan kerjasama dengan MIC dan MCA seolah-olah itu sahaja cukup untuk menyelesaikan masalah legitimasi mereka. Strategi ini bukan sahaja naif tetapi juga menunjukkan salah faham mendasar tentang kematangan politik masyarakat bukan Melayu.
Hakikatnya mudah: pengundi Cina dan India tidak mencari susunan kuasa atau pemimpin kitar semula. Mereka mahukan ketelusan, keadilan, dan reformasi bermakna. Ramai pengundi Cina dan elit India kini semakin curiga dengan kompromi DAP, manakala masyarakat India semakin muak dengan drama MGR Anwar Ibrahim. Dalam suasana ini, masyarakat India sebaliknya menaruh harapan kepada pemimpin berprinsip daripada Hindraf, MAP dan Urimai, yang mempunyai rekod panjang dalam berkhidmat kepada rakyatdengan konsistensi dan integriti. Dengan latar ini, andaian bahawa menyambut MIC dan MCA ke dalam PN akan secara ajaib menarik sokongan bukan Melayu adalah pemikiran terlalu mudah.
Masyarakat bukan Melayu tidak lagi mencari representasi “tradisional” dan kepimpinan kitar semula. Mereka mahukan kepimpinan tulen yang berakar pada prinsip, bukan sekadar isyarat simbolik atau penyertaan kosmetik. Jika PN terus memperlakukan isu-isu bukan Melayu sebagai sampingan dan gagal merangkul kepimpinan tulen daripada masyarakat tersebut, PN tidak akan berjaya meraih sokongan mereka. Tanpa perubahan strategi yang asas, usaha PN untukmendekati pengundi bukan Melayu hanya akan dianggap sebagai tokenisme semata-mata.